96 rakyat Malaysia di India selamat tiba di tanah air

0

Kira-kira 96 rakyat Malaysia yang terkandas di India ekoran penularan pandemik COVID-19 telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 6.00 pagi hari ini.

Memetik kenyataan media, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan kesemua mereka pulang menaiki pesawat sewa khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan daripada 96 orang ini, 62 daripadanya Jemaah Tabligh warga tempatan yang terkandas di India sejak Mac lalu kerana ditahan oleh pihak berkuasa India atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

Walaubagaimanapun, sebahagian besar mereka telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Manakala baki 34 orang rakyat Malaysia yang turut pulang hari ini menaiki pesawat yang sama bukan Jemaah Tabligh.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia terutama Wisma Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan India kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia khususnya Perwakilan Malaysia di India dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di sana termasuk Jemaah Tabligh.

“Saya juga amat berterima kasih terutama kepada seluruh ahli keluarga Jemaah Tabligh khasnya dan rakyat Malaysia amnya kerana sabar menunggu sementara isu ini diselesaikan malah saya faham, ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahan isu ini sejak ia viral, namun rakyat Malaysia juga perlu faham bahawa Jemaah Tabligh ini telah melanggar undang-undang Kerajaan India,” ujar beliau.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam usaha menyelesaikan proses diplomasi dan rundingan namun di pihak kerajaan Malaysia, sepanjang menyelesaikan isu ini, mereka berusaha sedaya upaya dalam memberikan bantuan konsular sewajarnya demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara termasuk menghulurkan bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas harian.

Selain itu, perwakilan di India juga telah mendapatkan khidmat guaman bagi membela mereka dengan sebaiknya serta menyediakan penginapan bersesuaian.

Bagi 96 rakyat tempatan yang telah pulang ke Malaysia hari ini, sepertimana yang telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Koordinasi India Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) 6.0 semalam, kesemua mereka perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di dua pusat kuarantin yang telah ditetapkan iaitu Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) serta Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Beliau berkata Wisma Putra dengan kerjasama perwakilan Malaysia di India akan terus menyelaraskan usaha bagi membawa pulang baki Jemaah Tabligh yang masih berada di India secara berperingkat.

Maklumat mengenai misi pulang seterusnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply