71 waris korban COVID-19 terima bantuan ehsan kematian

0

Sehingga 7 Mei, Tabung COVID-19 telah mengumpul kira-kira RM40,298,699.49 hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Bagi individu yang dirawat akibat positif COVID-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian akan menerima bantuan RM100 sehari bagi tempoh 14 hari kuarantin.

Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata permohonan bantuan ini hanya layak kepada warganegara Malaysia sahaja dengan dua kategori yang ditetapkan kerajaan.

“Daripada dua kumpulan tersebut yang layak menerima bantuan ialah terdiri daripada individu yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikuarantin.

“Yang kedua, individu yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang menjalani rawatan di wad hospital.

“Bantuan khas hilang pendapatan ini telahpun diberikan kepada 94 individu dengan jumlah RM125,700.00,” ujar beliau.

Manakala, bagi waris yang telah kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19 pula kerajaan turut menghulurkan sumbangan RM5,000 sebagai bantuan ehsan kematian.

Setakat ini, sebanyak 71 waris korban COVID-19 telah menerima bantuan ehsan kematian dengan jumlah RM355,000.00.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga telah menerima lebih daripada RM25 juta daripada hasil kutipan Tabung COVID-19 menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warganegara Malaysia yang memerlukan.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply