539 projek infrastruktur dirancang KPLB diteruskan

0

Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB memfokuskan untuk menyelesaikan semua projek yang dirancang disamping berusaha untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar pada tahun ini.

Demikian kata menteri bertanggungjawab, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika ucaptama amanat Tahun Baru KPLB yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook kementerian itu siang tadi.

Untuk tujuan itu beliau berharap 539 projek infrastruktur yang dirancang tahun ini dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun negara berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19.

“Ia termasuk projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi pelaksanaannya bagi memastikan projek berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Fokus kedua, membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Kita sedia maklum, Paras Garis Kemiskinan sudah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada tahun 2019, sekali gus menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada April lalu kepada 182,116 isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu KPLB sedia mengkaji semula dasar, fungsi dan tadbir urus sedia ada termasuk agensinya sejajar dengan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Datuk Dr Abdul Latiff berkata, tindakan itu bagi membolehkan peranan diperluaskan seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa negara.

“Sebagai contoh dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu dikaji semula dengan mengambil kira sudut fungsinya terutama dalam membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar,” katanya.

Menurutnya, dalam OACP terdapat 18 inisiatif digariskan dan akan dilaksanakan oleh pelbagai bahagian berdasarkan bidang keutamaan masing-masing bagi mencapai visi ‘KPLB Sejahtera Tanpa Rasuah’.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin kementerian ini akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, membina ketelusan dan menjamin akauntabiliti dalam pentadbiran, perolehan awam dan tadbir urus korporat,” katanya.

Beliau berkata, KPLB dan agensi perlu memberi penekanan kepada outcome (hasil) bukannya output (pengeluaran).

“Kita perlu mengkaji semua prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah pelaksanaan program supaya lebih efektif dan berbaloi,” katanya.

Datuk Dr Abdul Latiff berkata, setiap program dan projek dilaksanakan hendaklah ‘sustain’ dan tindakan susulan perlu dilaksanakan.

“KPLB boleh mendapatkan pandangan serta perkongsian pengalaman dan kaedah yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang benar-benar terlibat secara berterusan dalam melaksanakan projek komuniti di negara ini bagi membantu menambah baik proses kerja,” katanya.

Tambahnya, penyelarasan senarai projek antara KPLB dengan kerajaan negeri perlu dimantapkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan mengelakkan pertindihan.

Dalam Amanat itu beliau berkata warga KPLB dan agensi perlu menguasai kemahiran digital dan mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam pelaksanaan tugasan harian.

“Ini bagi memastikan kelancaran proses kerja sesuai dengan perkembangan pada masa ini yang menekankan penggunaan teknologi digital dalam tugasan seharian,” katanya.

Bagi menyokong usaha itu, Pelan Komunikasi Strategik perlu dibangunkan untuk memastikan semua pihak mendapat maklumat dan kefahaman yang jelas terhadap pelaksanaan inisiatif KPLB dan seterusnya memberikan impak yang tinggi kepada golongan sasaran.

“Strategi komunikasi yang efektif adalah penting untuk menguar-uar dan menjelaskan rasional keputusan, dasar kerajaan dan kejayaan yang telah dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Dalam hal ini, saya menyeru supaya Unit Komunikasi Korporat KPLB dan juga agensi memainkan peranan aktif dalam perkongsian maklumat melalui gambar, info grafik dan video di laman web dan media sosial masing-masing. Maklumat penting seperti permohonan bantuan atau program perlu dimuat naik secara berkala supaya diketahui umum,” kata Datuk Dr Abd Latiff. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply