52 geng Ayahanda Apis Steady ditahan

0

Tiga individu dipercayai ketua kumpulan Ayahanda Apis Steady bersama 52 ahli kumpulan berkenaaan dicekup dalam serbuan di sebuah hotel di daerah Kuala Terengganu, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, kesemua mereka yang berusia antara 16 hingga 52 tahun itu ditahan ketika menghadiri mesyuarat tergempar sebuah pertubuhan yang dipercayai tidak berdaftar, kira-kira jam 9 malam.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga ketua pertubuhan itu yang digelar ‘ayahanda’, berumur antara 30 hingga 35 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan narkotik.

“Pertubuhan itu dipercayai menjalankan aktiviti tarik kereta yang tertunggak bayaran bank.

“Hasil ujian air kencing terhadap kesemua tangkapan mendapati seramai enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan kita turut merampas barangan yang berkaitan dengan kumpulan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut ACP Mohd. Marzhuki, seramai 36 orang kini direman selama empat hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply