Kuala Lumpur Fashion Weekend 2021 cipta sejarah gunapakai teknologi metaverse dalam pameran fesyen babitkan pereka fesyen tempatan

0

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Anda kini tidak perlu hadir sendiri ke acara pertunjukan fesyen semata-mata untuk melihat rekaan terbaru Zang Toi atau Tom Abang Saufi.

Dengan adanya teknologi metaverse atau realiti maya, peminat fesyen boleh menyaksikan pertunjukan fesyen di atas talian namun pengalamannya seperti anda berada di acara berkenaan.

Itulah yang akan ditonjolkan pada acara
Kuala Lumpur Fashion Weekend (KLFW) 2021 yang boleh ditonton peminat fesyen tempatan di www.klfashionweekend.com bermula 25 hingga 28 November ini.

Melalui pautan ini, pengunjung dapat menonton pertunjukan fesyen secara 3 dimensi (3D) dan boleh terus membuat pembelian di laman berkenaan.

KLFW 2021 adalah acara fesyen pertama yang dipersembahkan dalam bentuk ‘phygital’ iaitu gabungan kedua-dua dunia fizikal dan digital.

Elemen ‘phygital ini’ adalah rekaan sebenar (fizikal) yang dipersembahkan model-model terlibat di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur di mana lokasi acara diadakan, manakala elemen digital dipersembahkan di laman sesawang berkenaan secara realiti maya.

Pengasas KLFW 2021 Dodi Mohammad berkata, acara tersebut juga adalah pertunjukan fesyen NFT (token tidak boleh ditukar) yang pertama diadakan di negara ini.

“Acara seperti ini tidak pernah diadakan di Malaysia dan ini akan mencipta sejarah industri fesyen tempatan di mana buat pertama kalinya kami memperkenalkan NFT untuk fesyen,” katanya pada sidang media sempena KLFW 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata melalui NFT karya-karya pereka sebenar tidak boleh ditiru atau diciplak sewenang-wenangnya oleh orang lain.

Dodi berkata seramai 28 pereka fesyen tempatan akan menampilkan rekaan dan koleksi terbaharu masing-masing seperti Zang Toi dengan kerjasama Nang Surya, Datuk Tom Abang Saufi, Tym Fatimah, Wan & Mary serta graduan muda Universiti Teknologi Mara dan Universiti Raffles dalam acara itu.

Dodi berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 pelawat akan mengunjungi laman sesawang acara berkenaan sepanjang empat hari ia berlangsung.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply