3,600 insiden ancaman keselamatan siber direkodkan – PAT

0

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menurut Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang angka yang tinggi itu membimbangkan perancang dan pengamal pertahanan.

Katanya, penilaian NACSA dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 itu menjangkakan berlakunya peningkatan ancaman siber.

“Usaha mengekang ancaman siber ini bukanlah murah, berikutan teknologi dan modus operandi pelanggaran keselamatan siber berkembang dengan begitu pantas, melampaui masa yang diambil untuk melaksanakan langkah memeranginya,” katanya.

Justeru, bagi menangani isu berkenaan, Tan Sri Affendi berkata, ATM menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaras dengan Kertas Putih Pertahanan.

Ia sebagai sebahagian daripada langkah memastikan keupayaan menghadapi ancaman siber.

“Perang dingin moden berlaku dalam talian pada masa kini, dalam keseluruhan persekitaran kerajaan secara kaedah perang hibrid. Oleh yang demikian, menggunakan sumber luar untuk menjaga keselamatan siber berisiko mendedahkan negara kepada bahaya,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan dan agensi keselamatan lebih cenderung mengekalkan langkah keselamatan siber dalam lingkungan sempadan negara, dalam mematuhi undang-undang dan strategi keselamatan siber negara.

Ia bagi membolehkan pihak terbabit mempunyai kawalan lebih baik ke atas persekitaran dan infrastruktur.

Untuk rekod, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM1.8 bilion untuk melakukan transformasi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menangani ancaman itu, selari dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024.

Tan Sri Affendi berkata demikian dalam ucaptamanya dalam seminar bertajuk “It Is Safe To Outsource Cyber Security Outside Your Borders?” (Adakah Selamat Untuk Penyumberluaran Keselamatan Siber di Luar Sempadan) anjuran Defence Services Asia (DSA) menerusi aplikasi Zoom –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply