35 tahun ‘essentially private’ soal cinta, Keanu Reeves perkenal teman wanita yang juga kenalan lama, Alexandra Grant

0

Aktor terkenal Hollywood, Keanu Charles Reeves tampil mesra berpegangan tangan bersama kekasihnya, Alexandra Grant dan mula memperkenalkan teman wanitanya kepada umum.

Hubungan yang dipercayai sudah 10 tahun terjalin, Keanu dan Grant berbusana serba gelap tersenyum manis saat lensa jurukamera ingin mengabdikan momen eksklusif pasangan ini ketika menghadiri acara LACMA Art dan Film Gala By Gucci, di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Alexandra Grant yang dikatakan mirip Pelakon Helen Mirren dikenali sebagai artis seni visual di Los Angeles, berusia 46 tahun dan merupakan teman lama Keanu Reeves.

Pasangan ini pernah berkolaborasi menghasilkan buku bergambar berjudul Ode to Happiness pada tahun 2011.

Terdahulu Keanu dan Grant pernah dilihat bersama ketika kedua-duanya makan malam di restoran yang berbeza pada Oktober lalu.

Pada kali ini hero filem bersiri popular, John Wick mengesahkan dan berkongsi hubungan istimewa ini kepada umum dan para peminatnya.

Setelah hampir 35 tahun menjauhi kemesraan bersama teman wanita di khalayak ramai, aktor kacak kelahiran Kanada ini dilihat bersikap ‘essentially private’ dan lebih fokus berbicara soal  karier seninya.

Terkenal sebagai pelakon dermawan dan bermurah hati, Keanu Reeves pernah mendermakan 70%  pendapatan menerusi filem The Matrix untuk rumah sakit leukimia sebagai mengenang pemergian adiknya yang telah meninggal dunia akibat Leukimia.

Tidak seperti aktor Hollywood lain, aktor ini lebih selesa menjalani kehidupan sederhana dan bersikap rendah diri, dilihat kerap membelikan makanan untuk teman kerja dan seluruh krew filem.

Dia juga pernah menyumbangkan wangnya untuk salah seorang krew filem yang mempunyai masalah kewangan dan hidup miskin.

Bahkan aktor ini telah mengeluarkan sejumlah wang untuk menghadiahkan sebuah motor berkuasa besar, Harley Davidson untuk ‘stuntman’ filem The Matrix sebagai penghargaan dan rasa terima kasih di atas sumbangan kerja-kerja aksi filem berkenaan.

Hidup diselubungi dengan beberapa tragedi sedih, aktor ini tetap mengatur perjalanan seninya dengan baik serta bijak menyembunyikan kesedihan yang dilaluinya.

Dalam reaksi perkhabaran terbaru ini, para peminatnya nyata gembira dengan pilihan hati aktor yang kini menginjak usia 55 tahun, dan menggelarkan Grant sebagai wanita berambut putih yang sangat bertuah dengan hashtag #whitehairdontcare.

Kebahagiaan yang dikecapi pelakon kesayangan ramai ini menjadi keutamaan para peminat setianya.

Leave a Reply