Pelajar genius terima bantuan Tabung Kebajikan Murid KGI

0

Susulan laporan berita mengenai seorang pelajar genius dari Kuala Terengganu perlu bantuan kewangan ke KGI, USIM.

Pelajar berkenaan Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong dikhabarkan bakal menerima bantuan menerusi Tabung Kebajikan Murid, Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Memetik laporan Utusan Online, pengarah KGI, Dr. Hayati Ismail berkata, tabung berkenaan yang diwujudkan pada tahun lalu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan, terutama dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40).

Foto Utusan Online

“Pelajar berkenaan akan menerima bantuan yuran, wang saku setiap bulan, bantuan pembelian pakaian sekolah dan alat tulis serta wang bantuan perjalanan untuk ke KGI dari tempat tinggalnya di Terengganu.

“Pihak KGI telah menghubungi ibu bapa pelajar tersebut pada 25 Januari lalu untuk memaklumkan bantuan yang akan diberikan dan sehingga hari ini pihak kolej masih lagi berhubung dengan keluarga pelajar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, pelajar tingkatan satu, Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, 13, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie di Kuala Terengganu mungkin tidak dapat memasuki KGI, USIM pada 17 Februari ini.

Ia kerana keluarganya tidak mampu membiayai kemasukan ke kolej berkenaan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi.

Muhammad Mu’az Zhofri ditawarkan mengikuti pengajian Tahap 1 Hamzah di KGI selepas lulus ujian kelayakan yang dikategorikan pintar oleh institusi tersebut.

Foto Utusan Online

Sementara itu, menurut Hayati, seramai 17 orang pelajar tingkatan satu hingga lima juga dikenal pasti untuk menerima bantuan yuran pengajian di KGI serta wang saku bulanan.

“Pihak KGI mengucapkan ribuan terima kasih terhadap keprihatinan masyarakat terhadap murid pintar berbakat dalam usaha mendidik mereka untuk menjadi cendekiawan Islam pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply