Kejiranan Hijau tingkat kesedaran masyarakat tentang pengkomposan sisa makanan

0

Jika sebelumnya, kami ke tempat pelupusan sampah di Changkat Jong yang diproses menjadi bahan binaan simen, kali kami ke daerah Kampar yang terkenal dengan Projek Kompos KitaQ di bawah seliaan Majlis Daerah Kampar.

Sebelum bercerita lanjut, perlu kita ketahui apakah proses kompos mahupun humus?

Kompos dan humus membawa maksud yang sama iaitu, “cara semulajadi kitar semula bahan organik”.

Ianya adalah proses ‘biodegradable’ dimana bahan organik diuraikan oleh mikroorganisma dalam kehadiran oksigen.

Hasilnya ia memberi manfaat kepada alam sekitar sebagai baja semulajadi (baja kompos) untuk berkebun dan pertanian.

Malah, melalui pelaksanaan pengkomposan ianya akan memperbaiki sifat fizik dan kimia tanah serta mengembalikan kesuburan tanah.

Sebagai contoh, tanah keras akan menjadi lebih gembur atau lembut.

Tanah kurang zat akan menjadi subur. Tanah bersifat kurang baik akan menjadi lebih neutral.

Tanaman yang melalui proses ini akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih subur dan kualitinya juga lebih baik selain dapat menjimatkan air dengan mengekalkan kelembapan dalam tanah.

Selain itu, ia membantu dalam penjimatan kos pada pungutan sampah dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Majlis Daerah Kampar terkenal dengan Projek Kompos KitaQ yang merupakan satu cara kitar semula di bawah Pelan Tindakan Pengurangan Sisa Pepejal 2005.

Menurut agensi terbabit, program ini merupakan satu projek di bawah Inisiatif Kejiranan Hijau yang merupakan kesinambungan bagi meningkatkan tahap kesedaran penduduk terhadap kepentingan amalan program hijau lestari seperti amalan pengkomposan sisa makanan dan amalan 3R.

Program ini juga merupakan program susulan daripada Program Komuniti Hijau Lestari – Bumi Hijau pada tahun 2014.

Melalui pelaksanaan program bersifat mesra alam ini, pihak berwajib mahu masyarakat lebih celik dan faham tentang kepentingan dan amalan hijau lestari demi menjaga kebersihan serta kehijauan persekitaran.

Selain memelihara persekitaran yang bersih dan selesa ianya turut mengamalkan pengkomposan sisa makanan.

Selain itu, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kaedah bercucuk tanam dan menyediakan lanskap berkonsep ”edible landscape” di persekitaran tempat kediaman ke arah Bumi Hijau Lestari serta mahu mencapai misi meningkatkan kadar kitar semula sehingga paras 22 peratus menjelang 2020 di daerah ini secara khususnya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply