Senibina Melayu Istana Kenangan sebagai aset pelancongan Diraja Perak

0

Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas dan kini dikenali sebagai Muzium Diraja Kuala Kangsar.

Istana yang dibina pada tahun 1926 sebagai tempat bersemayam sementara  Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar Shah ketika Istana Iskandariah sedang dalam kerja-kerja  pembinaan dan juga pernah menjadi Istana Tetamu pada hari-hari Istiadat Diraja Perak.

 

Pada keseluruhan rekabentuk Istana Kenangan diperbuat daripada kayu dan lokasinya berhampiran dengan Istana Iskandariah.

Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada sekitar tahun 1926.

Bahagian tengah tingkat atas istana ini menempatkan sebuah singgahsana. Tingkat bawah pula digunakan sebagai pejabat rasmi Sultan, di mana ianya berlantaikan simen dan disekelilingnya ditutupi dengan bidai.

Pada tahun 1986, istana ini berfungsi sebagai Muzium DiRaja dan diserahkan kepada Pentadbiran Negeri Perak Darul Ridzuan.

Senibina istana ini , melambangkan senibina Melayu tradisional.

Rekabentuknya pula melambangkan sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya.  

Pembinaan keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu berlian tanpa menggunakan sebarang paku.

Dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter.  

Ukiran pada Istana ini menggunakan tepas yang dianyam dengan corak-corak anyaman Melayu tradisional.  

Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Pada tahun 1933, Apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana terbabit.

Istana Lembah atau Istana Tepas didiami oleh keluarga Diraja Perak.

Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana berkenaan diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia.

Jika anda ingin tahu, tukang yang membina istana ini bernama Haji Suffian yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dilaporkan, Istana Kenangan telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 1931.

Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply