225 warga Malaysia di Bangladesh selamat tiba di tanah air

0

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamaruddin Jaffar memaklumkan seramai 225 orang rakyat Malaysia telah selamat tiba daripada Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mereka yang dibawa pulang terdiri daripada 130 orang pelajar, 55 orang pegawai dari Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, 35 orang ekspatriat dan 5 orang tanggungan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Memetik kenyataan media, Dato’ Kamaruddin Jaffar berkata, kejayaan membawa pulang warga Malaysia di Bangaldesh melalui kerjasama yang diberikan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dan Parti Kongress India Malaysia (MIC).

“Kesemua mereka dibawa pulang melalui penerbangan sewa khas Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dibiayai sepenuhnya oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC).

“Rakyat Malaysia yang dibawa pulang ini telah menjalani  proses saringan kesihatan di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein semasa sidang akhbar secara langsung melalui Facebook di Wisma Putra pada 24 Mac telah menzahirkan penghargaan kepada YB Tan Sri S. A. Vigneswaran, Presiden MIC yang sekali lagi tampil kehadapan membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara.

Terdahulu, MIC telah membiayai enam penerbangan membawa pulang seramai 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Thiruchirappali (Trichy), India melalui penerbangan Air Asia.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply