22 individu termasuk ketua kongsi gelap dicekup

0
Foto : Ehsan Berita Harian

PETALING JAYA : Polis menahan 22 individu termasuk dua lelaki dipercayai ketua kongsi gelap mencakupi Geng 18 Datuk Suresh dan Geng 21 Sunder.

Penahanan kesemua individu itu dilakukan kelmarin menerusi Op Cantas Sinecura oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Huzir Mohamed berkata operasi dijalankan susulan video satu kejadian pada 25 November tahun lalu yang tular dalam laman media sosial yang mana sekumpulan lelaki (Geng 18 Dato Suresh) merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields.

Dalam kejadian itu seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di premis berkenaan telah dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan terbabit.

“Dalam kejadian lain di Kapar, Selangor, sekumpulan lelaki (Geng 21 Sunder) yang bersenjatakan parang, kayu dan besi menyerang seorang mangsa di hadapan sebuah rumah sehingga mendatangkan kecederaan serius pada 21 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Huzir berkata, penularan video ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan elemen kongsi gelap dan gengsterisme.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati majoriti suspek memiliki tiga hingga lima rekod jenayah.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun dan dadah.

Siasatan ke atas semua mereka dijalankan mengikut Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply