21 tahanan Depoh Imigresen KK dicekup kerana merusuh

0
Foto Ihsan PDRM

Gara-gara tidak berpuas hati proses penghantaran pulang ke negara asal ditangguhkan, seramai 21 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu terbabit dalam rusuhan semalam.

Kesemua yang terbabit, ditahan reman polis untuk siasatan lanjut.

Mereka yang ditahan adalah 14 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 19 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penahanan itu berkata kesemua tahanan itu direman bermula hari ini hingga 14 September.

Siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Katanya, depoh tahanan berkenaan masih dalam kawalan pihaknya untuk tempoh beberapa hari sehingga keadaan dipastikan terkawal.

Lapor media Sabah, dalam kejadian 6.30 pagi semalam, sekumpulan penghuni DTI Kota Kinabalu dipercayai warga Filipina merusuh hingga memecahkan kunci pintu lokap, dikatakan kerana tidak berpuas hati proses penghantaran pulang ke negara asal ditangguhkan.

Polis hadir selepas dimaklumkan mengenai rusuhan itu dan mengawal keselamatan, yang membabitkan anggota Unit Tempur Ringan (LSF); Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas IPD Kota Kinabalu selain Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU), Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah.

Tiada penghuni yang berjaya meloloskan diri dan keadaan kembali aman selepas semua tahanan diperjelaskan mengenai penangguhan program penghantaran pulang.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply