2 maut, 5 hilang dalam letupan kilang kimia di Jerman

0

Dua orang dilaporkan maut sementara lima lagi masih hilang dalam letupan yang berlaku di sebuah kilang kimia di barat Jerman.

Lapor AFP, menurut polis, kira-kira 31 orang dilaporkan cedera dalam tragedi di taman perindustrian Chempark di bandar Leverkusen itu termasuk lima daripadanya mengalami kecederaan serius.

Susulan letupan itu, penduduk digesa tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu kepulan asap hitam yang mungkin toksik di kawasan terbabit.

Letupan kuat yang didengari hingga 40 kilometer itu masih belum diketahui puncanya.

Aplikasi amaran NINA Jerman mengisyaratkan ‘bahaya yang melampau’ kepada penduduk sambil menggesa mereka menutup pintu dan tingkap serta menyimpan nombor kecemasan.

Letupan dilaporkan berlaku sekitar 9.40 pagi waktu tempatan di kawasan pelupusan sampah di daerah Buerrig, Leverkusen, menurut operator tapak, Currenta.

Kawasan terbabit adalah terasing daripada taman perindustrian utama seperti Bayer, Lanxess dan Evonik.

Datuk Bandar Leverkusen, Uwe Richrath berkata, tragedi itu adalah peristiwa malang bagi penduduk bandar terbabit.

“Taman permainan di Buerrig dan kawasan sekitar Opladen akan ditutup.

“Penduduk juga dinasihatkan tidak memakan sayuran dan buah-buahan di laman mereka untuk sementara waktu,” katanya.

Letupan dikatakan bermula pada tangki yang digunakan bagi menyimpan pelarut cecair sebelum ia dilupuskan, kata Friedrich.

Kebakaran besar itu memakan masa beberapa jam untuk dipadamkan, dengan pasukan bomba dari Cologne yang berhampiran dihubungi untuk membantu.

Menurut Friedrich, tiga daripada tangki simpanan dilaporkan musnah sepenuhnya atau sebahagian, sekali gus sukar untuk mengetahui di mana letupan itu bermula.

Sebilangan polis, bomba dan pasukan menyelamat serta pakar pengesan pencemaran dikerahkan ke tempat kejadian.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply