4 individu direman hina agama, ganggu keharmonian – Pengarah JSJ Bukit Aman

0
Dato' Huzir, Pengarah JSJ PDRM foto: ProjekMM

KUALA LUMPUR 12 Sept 2019 : Tiga individu, termasuk seorang wanita direman 3 hari bermula hari ini kerana disyaki menghina agama dan mengganggu keharmonian negara.

Manakala seorang lagi dikenali sebagai Arunakiri direman 2 hari bermula hari ini di atas kesalahan sama.

Ia menjadikan ke semua yang direman 4.

foto: ProjekMM

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi The Malaya Post.

Untuk rekod, empat individu mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, selain memuatnaik rakaman video mengaibkan dengan niat cuba mencetuskan rusuhan antara kaum.

Kesemua mereka ditahan di empat lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan Seremban selepas Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengenal pasti identiti mereka, hasil siasatan yang dijalankan sejak Julai lalu.

Tangkapan pertama, polis menahan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Zahrein Zakariah di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 2.45 petang semalam.

Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berbangsa India yang menggunakan nama Ramar Nara dalam akaun FB miliknya selepas mengeluarkan kenyataan menghina kaum Melayu pada 16 Ogos lalu.

Menurut Datuk Huzir, lelaki ini ditahan pada jam 5 petang semalam di Pelabuhan Klang, Selangor, dengan beberapa peralatan telekomunikasi dan digital digunakannya untuk membuat kenyataan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan adalah seorang wanita Melayu yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW melalui akaun FB yang menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira. Dia ditahan di Seremban 3, Negeri Sembilan pada jam 4.30 petang semalam bersama peralatan telekomunikasi digunakannya juga dirampas,” katanya.

Penahanan seterusnya membabitkan seorang lelaki berbangsa India berhubung sebuah video yang dimuat naik dalam laman Youtube oleh seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri pada 9 September lalu, sebelum ditahan di Kelana Jaya, malam semalam.

Kesemua tangkapan ini adalah hasil kerjasama PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia SKMM yang membantu mengesan pemilik akaun laman sosial berkaitan.

“Ketika ini, kesemua individu terbabit sedang direman untuk siasatan lanjut. Kita menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau berkongsi perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan Institusi Diraja di mana-mana laman sosial,” katanya.

 

Leave a Reply