17 petua mudah atasi sakit gigi

0

Ada yang sedang sakit gigi? Pasti rasa terseksa dan tidak senang duduk. Malah serba serbi tak kena dibuatnya.

Punca sakit gigi adalah disebabkan oleh kerosakan gigi, masalah gigi sensitif, gigi retak, jangkitan kuman pada gigi, penyakit gusi seperti radang gusi dan juga jangkitan tulang di sekitar gusi.

Jom kami kongsi beberapa tip yang mungkin sesuai dan boleh diguna pakai untuk mengurangkan derita sakit gigi anda.

Tapi kalau sakit tak berkurang dan berterusan, perlulah ke klinik ya!

1. Bahan kumuran.

Kumur dengan bahan kumuran antiseptik (jenama Listerine, Oral B dan banyak lagi jenama di pasaran) bagi menghilangkan plak dan ini mampu mengurangkan kesakitan. Di samping itu, dapat mengurangkan masalah nafas berbau.

2. Air garam.

Ini sangat sinonim dengan masyarakat kita. Bancuh dan larutkan satu sudu kecil garam dalam segelas air panas. Setelah suam, kumur.

3. Air lemon.

Perah sebiji lemon ke dalam segelas air panas. Setelah suam, kumur.

4. Limau nipis dan air garam.

Limau nipis dibelah empat. Rebus bersama air dan garam. Setelah sejuk, kumur.

5. Daun sirih tua.

Rebus 10 helai daun sirih tua di dalam 4 hingga 6 gelas air sehingga mendidih. Setelah sejuk, tapis dan kumur.

6. Tomato muda.

Tomato dibelah dua, tampalkan pada bahagian yang sakit. Setelah sakit berkurang, kumur.

7. Lidah buaya.

Tampalkan isi lidah buaya pada bahagian yang sakit.

8. Bawang putih dan bawang merah.

Hirisan bawang ditampal pada bahagian yang sakit. Biar sekurang-kurangnya satu jam untuk melihat kesannya.

9. Esen vanila.

Kepada yang gemar membuat kek dan kuih muih, pasti ada bekalan esen vanila ini di rumah.

Caranya, celup putik kapas ke dalam esen vanila dan sapu pada bahagian yang sakit.

Makan manis, lepas tu sakit gigi. Kemudian gunakan bahan yang sama untuk mengubati. Ha eloklah tu!

10. Minyak gamat.

Caranya sama seperti esen vanila tadi. Celup dengan putik kapas dan sapukan pada bahagian yang sakit.

11. Habatussauda.

Letakkan serbuk jintan hitam atau minyak jintan hitam pada gusi yang berlubang.

12. Kapur sirih.

Sapukan sedikit kapur sirih pada gigi yang sakit. Lebih bagus jika daun sirih dikunyah sekali.

13. Biji asam jawa dan garam kasar.

Goreng biji asam jawa selama beberapa minit. Bakar sedikit garam kasar dalam daun pisang. Kemudian tumbuk kedua-dua bahan ini sehingga halus. Tampal pada gigi yang sakit.

Cara ini mungkin mengambil masa. Jika anda yang membantu menyiapkan bahan ini, buatlah dengan kadar segera, atau anda yang ditumbuk nanti!

14. Bunga cengkih.

Harus di ingat, cara ini bukan semua boleh ya! Bagi sesetengah daripada kita, jika tergigit bahan ini ketika menikmati makanan pun, boleh ‘potong mood’!

Kepada yang tak kisah, gigit tiga kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit.
Jika gigi berlubang, tumbuk cengkih dan isikan dalam gigi yang berlubang. Kemudian tutup dengan kapas.

15. Gambir.

Rendam sedikit gambir di dalam setengah cawan air suam. Tumbuk separuh hancur. Letakkan pada gigi yang sakit. Fungsi gambir adalah untuk mengebaskan gigi. Akan tetapi jangan gunakan bahan ini dalam jumlah yang banyak kerana ia akan mengebaskan bibir pula.

16. Daun serai dan garam.

Tumbuk lumat daun serai bersama sedikit garam dan campur dengan air. Kumur.

17. Ais.

Tuam atau tekap bahagian luar pipi yang bengkak dengan menggunakan ais.

Tips di atas mungkin boleh digunakan untuk mengurangkan atau meredakan kesakitan buat sementara waktu.

Apa yang penting, perlulah berjumpa dengan pakar.

Kurangkan pengambilan makanan manis dan tidak berkhasiat.

Amalkan penjagaan serta kebersihan gigi dan gusi untuk senyuman yang cantik menawan!

Jom cantik!

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply