164,692 pengembara disaring di pintu masuk negara bermula awal tahun

0

Bagi tempoh bermula 1 Januari lalu sehingga jam 3 petang semalam, jumlah pelawat yang disaring bagi Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah seramai 164,692 pengembara dari negara luar.

Saringan terbabit dijalankan di kesemua pintu masuk antarabangsa di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada 164,692 pengembara tersebut, sembilan dari mereka telah dirujuk untuk pemeriksaan lanjut, ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tambah beliau, kesemua pengembara tersebut didapati tidak memenuhi kriteria pesakit dalam siasatan (PUI) 2019-nCoV sebagaimana yang ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus 2019-nCoV No 02/2020.

Tambah beliau lagi, pengembara terbabit dibekalkan dengan kad amaran kesihatan dan sekiranya gejala yang dialami semakin serius, pengembara berkenaan perlulah mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di kaunter menempatkan mesin pengimbas terma suhu badan dikendalikan pegawai kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Kawalan Penyakit KKM, Dr Norhayati Rusli dan Pegawai Kesihatan KLIA & klia2, Dr Harishah Talib. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply