Hukuman penjara seumur hidup patut dikenakan terhadap pemandu mabuk yang melanggar mati pengguna jalan raya

0

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya hukuman penjara seumur hidup dikenakan terhadap pemandu mabuk yang melanggar mati pengguna jalan raya lain dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada pertengahan tahun ini.

Menurut Ketua Penaja Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli, hukuman lebih berat perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pemandu agar tidak berada dalam pengaruh alkohol atau dadah ketika memandu.

Justeru, beliau memohon kepada Kementerian Pengangkutan untuk mempertimbangkan cadangan berkenaan memandangkan hukuman kepada pesalah terbabit tidak setimpal dengan kehilangan nyawa manusia.

“Kita menghargai maklum balas Menteri, Anthony Loke apabila semalam menyatakan persetujuan kementeriannya untuk membawa isu ini ke Kabinet dan Parlimen pada sidang Jun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media kempen kesedaran Jangan Minum, Mabuk dan Pandu Malaysia di pejabat Putra Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Putra Malaysia, Dato’ Paduka Ibrahim Ali.

Menurut Dr. Asmah, Wirawati Putra memegang janji Menteri Pengangkutan, Anthony dan sentiasa menyokong apa sahaja langkah yang diambil untuk menjaga keselamatan dan nyawa pemandu.

Beliau merayu kepada kementerian berkenaan untuk memulakan tindakan serta-merta supaya langkah pindaan itu diambil.

“Kita amat mengharapkan undang-undang lebih berat dikenakan  kerajaan agar tiada lagi mangsa tidak berdosa terkorban oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Setakat ini hukuman terhadap pemandu mabuk dikenakan bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Manakala pemandu mabuk yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain dikenakan hukuman di bawah Seksyen 43 iaitu penjara 12 bulan atau denda maksimum RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, Wirawati komited untuk membantu dalam memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah salah di sisi undang-undang.

–THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply