14 Mercedes Benz untuk pimpinan kerajaan Kelantan

0

Timbalan Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan tampil menjelaskan isu kereta mewah jenama Mercedes Benz yang dipercayai miliknya yang tular di laman sosial sejak semalam.

Ketika ditemui di Pejabat DUN Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah membeli 14 buah kereta mewah Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan EXCO.

Beliau berkata pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu yang terakhir.

Malah beliau turut menegaskan bahawa pembelian ini tiada kaitan dengan peruntukan khas RM400 juta oleh Kerajaan Pusat.

“Ya memang semua EXCO, Menteri Besar dan saya sendiri kini menggunakan kereta Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi, namun kapasiti enjin yang berlainan.

“Saya mula guna sejak akhir Disember lalu, manakala Menteri Besar mula guna 1 Januari lalu.

“Kita membeli kereta baharu memandangkan kebanyakan kereta sudah digunakan lebih 10 tahun dengan ada EXCO yang berhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan.

“Kita membeli Mercedes Benz kerana mementingkan keselamatan dan berdasarkan pengalaman, penyelenggaraan Mercedes Benz lebih jimat berbanding Proton Perdana yang sudah lama,” katanya.

Kenderaan model terbaharu itu dipercayai bernilai hampir RM700,000 ditempah sejak tahun lalu dan kenderaan itu mula digunakan pada tahun ini. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply