14 artis angkat sumpah sebagai ahli parlimen Indonesia

0

14 artis popular Indonesia, antara 575 Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024, hari ini.

Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti, artis yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Memetik laporan media tempatan, artis- artis lain yang mengangkat sumpah hari ini adalah Eko Hendro Purnomo, Desy Ratnasari, Dede Yusuf Macan Effendi, Tommy Kurniawan, Primus Yustisio, Rieke Diah Pitaloka, Arzeti Bilbina, Rano Karno, Nurul Arifin, Farhan, Rachel Maryam Sayidina dan Nico Siahaan.

Dua menteri Indonesia ketika ini, iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P, turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 Sept lepas, untuk dilantik sebagai Anggota DPR.

Manakala Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Puan Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri, dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno) juga calon DPI-P, akan mengangkat sumpah sebagai Anggota DPR esok, dan akan melepaskan jawatan menterinya.

Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung, Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan turut hadir pada majlis itu.

Jokowi, yang menang pada pilihan raya Presiden 2019, dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Oktober ini.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Siti Fauziah berkata antara agenda yang dijadual bermula 8 pagi esok itu, adalah proses mengangkat sumpah 575 Anggota DPR, 136 Anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 Anggota MPR untuk penggal 2019-2024.

Sementara itu Ketua Bidang Hubungan Masyarakat, Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Argo Yuwono berkata sebanyak 20,500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di kawasan parlimen Indonesia.

Jalan utama kawasan parlimen itu, iaitu Jalan Gatot Soebroto, yang juga jalan utama di Kota Jakarta, telah ditutup sejak seminggu lepas, berikutan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan, menjelangnya angkat sumpah itu.

Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lepas, dan menjadi semakin buruk bermula 24 Sept lepas, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia, membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Jokowi telah mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 September lalu dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang akan mengangkat sumpah siang tadi, untuk proses tindakan selanjutnya.

Leave a Reply