123 daripada 191 Bahagian UMNO lulus usul sokong Ismail Sabri kekal PM sehingga 2023

0

Sejumlah 123 daripada 191 Bahagian UMNO telah meluluskan usul menyokong Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal 2023.

Menurut sumber, keputusan itu diputuskan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang berlangsung semalam dan hari ini di seluruh negara.

Kata sumber itu lagi kepada The Malaya Post, keputusan itu bermakna sebahagian besar bahagian UMNO kini bersedia untuk mengharungi pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU-15.

“Ya, 123 daripada 191 Bahagian UMNO telah meluluskan usul agar Ismail Sabri kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tempoh penggal ini berakhir iaitu pada 2023,” kata sumber kepada The Malaya Post hari ini.

Untuk rekod pemilihan parti UMNO sepatutnya diadakan sebelum 29 Disember 2022.

Jelas sumber lagi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini sudah mendapat lampu hijau daripada majoriti UMNO bahagian agar beliau meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri sehingga tempoh penggal ini berakhir.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO Dato’ Seri Ismail Sabri berkata, beliau lebih selesa berdiam diri sekiranya ditanya sama ada melaksanakan PRU-15 atau pemilihan parti terlebih dahulu.

Memetik ucapan penggulungan beliau dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Bera hari ini, Perdana Menteri berkata, walaupun boleh memikirkan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen, namun beliau tidak mahu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Bagaimanapun, ini (bubar Parlimen) bukan hak mutlak Perdana Menteri kerana mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Jangan kita mendahului kuasa Seri Paduka Baginda dan jangan kita mendahului membuat kenyataan dalam perkara bidang kuasa Seri Paduka Baginda,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply