Saturday, March 23, 2024
Home POLITIK 11 sektor ekonomi dibuka mulai esok

11 sektor ekonomi dibuka mulai esok

0
Sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok, 16 Ogos.
Keputusan itu diputuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah mengambil kira data penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ia membabitkan perkhidmatan menggunting rambut, kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan.

Ini termasuk kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat atau salon kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Perdana Menteri berkata, pemilik premis yang tersenarai ini perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19. Ia bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.

“Penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang saya umumkan ini akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Tan Sri Muhyiddin berkata, kerajaan sedar semakin lama aktiviti ekonomi dan keperluan rakyat dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal.

“Kerajaan melihat bahawa amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah,” katanya lagi.

Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang diumumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply